Wednesday 17 February 2016

Pengaruh Islam Dalam Akidah Masyarakat Melayu



Sebelum Kedatangan Islam

Masyarakat Melayu dahulu menganut kepercayaan Animisme yang bererti kepercayaan kepada makhluk-makhluk, objek-objek ataupun roh . Sumber ekonomi mereka ketika itu adalah menjalankan aktiviti pertanian. Justeru, ia berkait rapat dengan keadaan kehidupan masyarakat yang bergantung terhadap alam sekitar, muka bumi dan sebagainya. Maka, wujudnya satu bentuk hubungan yang erat antara manusia dan persekitarannya. Keakraban ini membentuk satu bentuk kepercayaan bahawa setiap yang ada di sekeliling mereka juga ‘hidup’ dan mempunyai ‘roh’, ‘semangat’ dan keperibadian tersendiri.

Keyakinan mereka terhadap makhluk-makhluk seperti ‘penunggu’ atau ‘puaka’ yang menghuni suatu tempat boleh mendatangkan kesan baik mahupun kesan buruk kepada mereka. Kepercayaan kepada animisme ini telah membawa kepada amalan beragama iaitu pemujaan dan menghambakan diri kepada sesuatu yang kononnya mempunyai kuasa untuk mendatangkan kesan-kesan tertentu kepada si pemuja. Contohnya, masih ramai orang-orang Melayu memuja kampung mereka, dengan tujuan kampung mereka sentiasa dalam keselamatan dan kesejahteraan tanpa digugat oleh makhluk-makhluk ghaib ini. Mereka juga percaya jika tidak dilakukan setiap tahun atau tiga tahun sekali, ia akan mengundang malapetaka atau orang-orang kampung akan digodai oleh jin iblis, dan sebagainya.

Seterusnya, muncul pula agama Hindu-Buddha yang menjadi pegangan masyarakat Melayu selepas itu. Datangnya agama ini telah menyebabkan amalan penyembahan dan upacara-upacara keagamaan lebih tersusun dan teratur. Kehidupan dan kebudayaan masyarakat Melayu turut berubah terutama sekali dikalangan golongan pemerintah dan bangsawan.

Pengaruh Hindu dan Buddha semata diamalkan oleh suatu lapisan tipis struktur masyarakat sahaja. Ia merupakan agama yang dipertahankan oleh golongan pemerintah serta golongan bangsawan sedangkan rakyat biasa mengambil sikap tidak ambil peduli terhadap ajaran-ajaran tersebut. Masyarakat Melayu bukanlah sebagai masyarakat Hindu kerana ia dianuti dengan bersungguh-sungguh oleh golongan bangsawan sahaja. Sedangkan falsafah Hindu yang sebenar tidak juga difahami oleh mereka Ajaran yang mereka pegang adalah dalam bentuk pandangan hidup yang berteraskan kesenian serta upacara-upacara ritual untuk memperkukuhkan kedudukan golongan raja-raja dan bangsawan dalam masyarakatnya. Ia bukanlah satu ajaran yang berteraskan falsafah dan logik akal fikiran serta tidak mampu mengubah pandangan hidup masyarakat di Alam Melayu itu sendiri.

Selepas Kedatangan Islam

Kedatangan Islam telah memberi kesan yang besar terhadap masyarakat Melayu. Kesan ini juga jelas dilihat di dalam kehidupan" seharian masyarakat Melayu. Kehidupan masyarakat Melayu banyak didasari adat dan ajaran agama Islam. Kesan utama yang dibawa oleh Islam ialah terhadap akidah dan kepercayaan. Sebahagian daripada masyarakat Melayu telah meninggalkan ajaran agama Hindu­Buddha dan kepercayaan animisme. Mereka lebih percaya kepada konsep ketuhanan, hormat-menghormati antara manusia dan menitikberatkan persamaan taraf. Corak kehidupan mereka turut berubah kepada hidup beragama dengan mengamal dan menghayati ajaran Islam dalam kehidupan mereka.

Islam mengubah pandangan masyarakat Melayu daripada mempercayai roh, semangat dan dewa-dewa kepada mempercayai Tuhan Yang Maha Esa, percaya adanya para Nabi dan Rasul , wujudnya malaikat dan kebenaran kitab-kitab suci. Keimanan mereka dimantapkan dengan melakukan amal ibadat seperti sembahyang, puasa, mengeluarkan zakat dan menunaikan rukun haji. Masyarakat Melayu juga merayakan hari-hari kebesaran Islam seperti mengadakan sambutan Maal Hijrah, sambutan Maulidur Rasul dan Nuzul al-Quran.

Perubahan yang paling utama ialah daripada sudut kepercayaan di mana masyarakat Melayu telah diperkenalkan dan diyakinkan dengan keyakinan yang berasaskan tauhid. Fahaman tauhid telah mengubah pandangan orang Melayu daripada zaman Hindu-Buddha dengan metodologinya, penyembahan rajanya, ciri tertentu dan masyarakatnya, alam khayalannya, penyembahan berhalanya, kepada ajaran tauhid yang murni

Agama Islam di Melaka dihayati oleh masyarakat ketika itu sejak agama ini diterima oleh Raja Mahkota Iskandar Shah. Masyarakat Melaka menerima agama Islam yang telah dianuti oleh raja mereka dengan rela. Penerimaan ini, telah mndorong mereka untuk berusaha mengamalkan serta menghayati ajaran dan hukum Islam dengan sebaiknya. Kegiatan kemasyarakatan telah berubah dan menggambarkan penerimaan dan penghayatan mereka terhadap ajaran Islam. Kegiatan keagamaan seperti bermuzakarah, kuliah dan ceramah diadakan. Perayaan dalam Islam disambut dengan penuh penghayatan seperti sambutan Hari Raya Haji dan Hari Raya Puasa. Mereka mula mempelajari al-Quran dan ilmu tafsir daripada ulama yang ada di Melaka ketika itu. Anak-anak pula dididik dengan cara hidup Islam.



Penyerapan ajaran Islam tidak mengganggu masyarakat yang ada sehingga akhirnya menjadikan orang Melayu di Alam Melayu beragama Islam. Berasaskan konsep tauhid ini juga lahirlah  dua hubungan iaitu hubungan antara manusia dengan manusia dan manusia dengan Pencipta.Tauhid juga membuatkan kehidupan beribadah, mencantikkan akhlak serta mencetus perubahan lain dalam bidang politik, perundangan, pendidikan dan sebagainya.

Dengan adanya revolusi mental yang diketengahkan oleh Islam dan masyarakat telah menyebabkan perubahan sosial. Ajaran Islam mengandungi unsur-unsur rasionalisme, di mana Islam menekankan konsep persamaan taraf sesama manusia di sisi Allah SWT. Semua manusia adalah berasal dari Nabi Adam a.s. dan Nabi Adam a.s. dijadikan dari tanah. Berpandukan kepada konsep rasionalisme inilah masyarakat Nusantara dengan sendirinya menolak kepercayaan tahyul Hindu dan fahaman animisme

No comments:

Post a Comment