Wednesday 13 January 2016

Pengaruh Islam Dalam Pentadbiran Di Alam Melayu



Bertukarnya sistem dan konsep raja dalam agama Hindu kepada sistem dan konsep sultan di dalam Islam. Di dalam politik yang berteraskan agama Hindu, raja dianggap bayangan tuhan ataupun dewata, tetapi di dalam Islam raja adalah manusia biasa tetapi diberi kemuliaan kerana peranannya sebagai ketua agama dan pentadbir sebagaimana yang dijalankan di dalam sistem kekhalifahan pada masa dahulu. Walaupun sultan tidak dianggap suci sebagaimana raja-raja Hindu, namun sultan dianggap mempunyai daulat dan status yang Iebih tinggi danipada orang kebanyakan.

Pengaruh Islam dalam undang-undang Melayu lama bermula daripada institusi pemerintahan beraja yang  terdapat di Asia Tenggara. Sebelum ini, institusi pemerintahan dan pentadbiran serta perihal undang-undang di Asia Tenggara berlandaskan peraturan daripada prinsip dan budaya Hindu. Dengan kedatangan Islam, beberapa pengubahsuaian berlaku dalam sistem ini. Pengubahsuaian yang besar ialah sistem pemerintahan berasaskan Islam secara tidak langsung turut mengubahkan sistem undang-undang berlandaskan hukum Islam.

Sistem pentadbiran Islam ini meletakkan sultan sebagai ketua negara. Manakala,mufti dilantik sebagai penasihat sultan dalam hal ehwal agama Islam dan pentadbiran negara. Selain mufti, wujud pegawai dan petugas seperti kadi, khatib, bilal, pemungut zakat, penyelia baitulmal, dan penjaga harta wakaf. Penggunaan gelaran sultan telah mengukuhkan lagi kedudukan kerajaan Islam dan undang-undang Islam di Alam Melayu dan menjamin kewibawaan raja. Penyelarasan gelaran ini meletakkan kedudukan mereka setaraf dengan pemerintahan kerajaan Islam lain di seluruh dunia dan memupuk semangat persaudaraan di kalangan umat Islam.

Dalam Hukum Kanun Melaka, raja-raja Melaka yang lain diberi gelaran Khalifatul Mukminin yang bererti pemimpin orang mukmin. Perkataan Khalifatul Mukmin juga tercatat pada mata wang syiling dalam kerajaan Melayu Melaka, Johor, Pahang, Kedah, Terengganu dan Kelantan. Selain itu, gelaran Zillulah fil’ Alam yang bermaksud bayangan Allah di dalam alam ini juga digunakan oleh raja-raja Melaka.

Islam dijadikan agama rasmi oleh kerajaan Islam di Asia Tenggara, seperti kerajaan Melayu Melaka, kerajaan Acheh dan kerajaan Brunei. Dalam sesebuah kerajaan Islam, sultan merupakan khalifah Allah atau wakil Allah di bumi dan mereka haruslah menunaikan amanah yang dikurniakan oleh Allah, iaitu memerintah dengan adil. Beberapa orang sultan yang alim berpegang teguh kepada ajaran Islam seperti Sultan Malik al-Zahir dari Samudera-Pasai, Sultan Ali Mughayat Syah, dan Sultan Iskandar Thani dari Acheh. Sultan-sultan ini telah menerapkan unsur-unsur Islam dalam pemerintahan mereka bagi menggantikan sistem pemerintahan beraja Hindu yang berasaskan konsep dewa-raja